EEEE!
Kepada
anda yang tinggal di Lembah Kelang, anda mungkin sudah nampak papan tanda baru
didirikan di sekitar Lembah Kelang. Ia berbunyi begini
Ke arah MESRA RAKYAT
melalui “4E”
“Educated” Efisyen Efektif Elektronik
Terdapat
gambar diktator tua di sebelah kiri dan budak hingusan MB Selangor Khir Toyo di sebelah
kanan. Ada enam kanak-kanak kecil dan empat orang dewasa yang terdiri
daripada pelbagai kaum. Gambar-gambar seperti masjid besar, LRT, komputer, litar
F1 Sepang dan lain-lain juga dimuatkan dalam papan tanda itu.
Satu
kesalahan ketara dalam papan tanda ialah penggunaan bahasa yang bercampur aduk.
Memang jelas Bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia digunakan dalam papan tanda
ini. Amat menyedihkan pihak kerajaan tidak bersungguh-sungguh dan memandang remeh
mengenai bahasa kebangsaan. Demi untuk memenuhi “4E”, perkataan bahasa
Inggeris iaitu “ Educated” digunakan. Walaupun simbol “ ” digunakan
untuk menunjukkan perkataan itu bukan perkataan bahasa Malaysia namun saya rasa
agak janggal dalam hal ini.
Bagaimana kerajaan mahu memberi teladan atau
contoh kepada rakyat Malaysia terutamanya pelajar-pelajar sekolah tentang
penggunaan bahasa yang betul. Ia akan memberi gambaran kepada kita bahawa
penggunaan bahasa yang bercampur aduk dengan bahasa Inggeris dibenarkan oleh
kerajaan. Saya merujuk perkataan – perkataan seperti efisyen, efektif dan
elektronik dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga Cetakan Keempat 1998.
Perkataan atau ejaan Efisyen sepatutnya ialah efisien sebagaimana terdapat dalam
Kamus Dewan. Perkataan-perkataan efektif dan elektronik memang ada dalam kamus.
Satu
persoalan yang saya ingin kemukakan ialah perkataan-perkataan seperti efisyen atau
efisien dan efektif adalah perkataan-perkataan pinjaman dari bahasa Inggeris iaitu
Efficient dan Effective. Kenapa perkataan-perkataan yang lebih sesuai iaitu cekap
dan berkesan tidak digunakan? Kenapa nak gunakan perkataan pinjaman dari Bahasa
Inggeris? Adakah bunyi sebutan perkataan-perkataan Bahasa Inggeris lebih sedap
didengar dan bersifat canggih? Semata-mata hendak gunakan pendekatan “4E”
supaya lebih senang diingat, penggunaan bahasa Malaysia diperlekehkan. Tiada
semestinya urutan huruf-huruf seperti E digunakan.
Tambahan pula penggunaan
bahasa yang tidak betul digunakan pada papan tanda iklan kedai-kedai perniagaan.
Kenapa Majlis Daerah/Perbandaran/Bandar Raya boleh meluluskan papan tanda kedai
ini yang menampakkan kesalahan tata bahasa yang serius berlaku? Sering kali kita
terdengar penggunaan bahasa Inggeris dalam filem dan drama Melayu. Kenapa
perkataan-perkataan bahasa Inggeris hendak diselitkan dalam skrip? Adakah filem
dan drama Melayu nampak ada kelas dan ada oomphhhh kalau ada bahasa Inggeris
digunakan? Nampaknya peranan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memelihara dan
mengembangkan penggunaan Bahasa Malaysia hanyalah dijadikan sebagai tunggul dalam
hal ini. Adakah kerajaan merujuk kepada DBP tentang penggunaan tata bahasa dan
ejaan yang betul? DBP sendiri pun tidak serius dalam memelihara dan mengembangkan
bahasa Malaysia yang mempunyai keindahan dan keunikan yang tersendiri. Bagaimana
kerajaan hendak menggalakkan orang ramai terutamanya kaum bukan Melayu menggunakan
bahasa Malaysia sedangkan kerajaan sendiri tidak berusaha menggunakannya dengan
cara yang betul? Lebih memalukan kesilapan papan tanda ini dipaparkan dalam surat khabar
bahasa Inggeris.
LTL
|
|